Ahad, 12 Januari 2014

Kedai Makan Halal?

Biasanya kita di Malaysia, kita akan berdepan dengan beberapa jenis kedai makan. Maksud saya dari sudut kehalalannya.

1. Pemiliknya bukan muslim tiada sijil halal

2. Pemiliknya bukan muslim mempunyai sijil halal. Terdapat pada kebanyakan restoran makanan segera seperti KFC, McD, dan lain-lain.

3. Pemiliknya muslim, tiada sijil halal. Kebanyakan kedai makan melayu.

4. Pemiliknya muslim, mempunyai sijil halal.

 

Kategori yang ingin saya sentuh adalah yang ketiga. Yang menjadi kebiasaan kata orang “Itu kedai makan orang kita lah, jadi tentulah halal”. Di sini saya bukan nak sebut kedai tu halal atau tidak.

Cinta Pandang Pertama?

‘First impression’ itu kadang kala mempengaruhi cara kita membuat keputusan. Tempoh hari saya ingin pergi makan ke sebuah gerai, di situ ada makanan baru yang nak dicuba. Sedap kah bagaimana kah rasanya. Jarak dari rumah saya ke tempat tu agak jauh. Yalah, rumah saya berdekatan bandar Labuan, gerai tu di hujung sana. Tak perlu rasanya saya sebut kedai mana.

Bila sampai, saya dapati tukang masaknya wanita tidak bertudung, berpakaian sendat padat, yang lelaki pula ada bersubang, merokok lagi. Bukan saya nak kata mereka jual benda yang tidak halal. Tidak.  Cumanya, bila pandangan pertama tidak seindah yang dijangka, maka selera pun lari. Lalu kami pun terus ke tempat lain.

Bukan sebab apa, saya merasakan terasa dalam hati dan terfikir “Adakah aku nak orang sebegini yang ambil peduli tentang pemakanan halal ku, sedangkan mereka sendiri tidak tidak terjaga kewajipan mereka sebagai muslim? Oh, tidak!!” Maksudnya begini: Mereka sendiri melakukan yang haram bagaimana nak yakin bahawa mereka menjaga yang halal?

Lain orang, mungkin lain prinsip mereka. Tapi pada saya, ia berbeza. Pernah sekali, di Kota Kinabalu, ketika makan dengan rakan-rakan sekerja. Seorang rakan order sate untuk kami semua. Tapi bila sate tu sampai, saya terkejut melihat orang yang hantar makanan tu bersubang di telinga kiri dan kanan. Saya pun tak tahu yang itu tokey atau pekerja, cumanya bila lihat sahaja begitu, hilang selera di tekak.

Penampilan tak jaga?

Seperti makanan juga, rupa juga memainkan peranan yang penting. Kalau makanan di pasaraya, kita lihat ‘packaging’nya berbeza-beza dan syarikat, masing-masing ingin mencuri perhatian pelanggan agar membeli barangan yang mereka jual. Penampilan penting, namun kualiti lebih penting. Tanpa kualiti, pembelian pertama akan menjadi pembelian terakhir bagi sesuatu barangan.

Nasihat saya kepada pemilik-pemilik kedai makan atau restoran, minta lah pekerja anda menjaga penampilan.

Sabda Nabi:

كلكم راع وكلكم مسؤول عن رعيته

Bermaksud: Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan bertanggungjawab terhadap orang di bawah seliaan kamu.

Pastikan pekerja anda tutup aurat, benarkan mereka untuk tunaikan solat, buatlah peraturan yang menjunjung syarak dan pastikan kamu juga mengikutinya. Sebenarnya setiap kita mampu menjadi yang terbaik di sisi Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan