Jumaat, 17 Januari 2014

Umar رضي الله عنه lebih cintai dirinya, berbanding Rasulullah صلى الله عليه وسلم?

Kita memang dituntut mencintai Nabi صلى الله عليه وسلم melebihi semua benda di dunia ini. Mungkin kita kadang kala terfikir bagaimana nak tunjukkan rasa cinta pada Nabi صلى الله عليه وسلم ? Kalau kita sayangkan anak-anak kita akan peluk,cium, beri segala yang terbaik kepadanya.

white-gold-ring

Kalau kita sayangkan isteri, kita belikan barang-barang yang terbaik kepadanya. Kalau boleh segalanya nak berikan padanya. Kita sayangkan kereta, kita basuh setiap kali kotor, kilatkan lagi, tambah aksesori yang pelbagai padanya.

modified-car-honda-civic-11

Soalan di sini, bagaimana nak tunjukkan cinta pada rasul صلى الله عليه وسلم ? Nabi telah pun tiada pada hari ini. Wafat sejak lebih kurang 1400 tahun yang lalu. Agama Islam telah disempurnakan sebelum kewafatannya. Dengan kewafatan Nabi صلى الله عليه وسلم , maka tamatlah zaman pensyariatan. Tiada lagi ibadat baru, tiada juga hukum hakam baru, melainkan ia perlu menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai asas utama. Di sini saya tidak berhajat untuk menyebut tentang fiqh ahkam mu’asiroh, feqh semasa. Mungkin pada masa yang berlainan.

Jom lihat apa kata Umar رضي الله عنه berkenaan cinta kepada rasul صلى الله عليه وسلم. Umar رضي الله عنه antara 10 sahabat yang dijanjikan Syurga.

apa-cinta-itu Sabda Nabi :

حديث أنس رضي الله عنه قال : قال النبي صلى الله عليه وسلم : « لا يؤمن أحدكم حتى أكون أحب إليه من والده وولده والناس أجمعين

Bermaksud: Sabda Nabi صلى الله عليه وسلم “Tidak beriman seseorang kamu itu, sehingga aku ini lebih dia cintai daripada bapanya, anaknya.dan seluruh manusia” HR Bukhari:15, Muslim:44.

Hadis ini umum untuk semua orang yang ingin mengaku sebagai beriman. Tidak boleh menjadikan sesiapa pun lebih berbanding Nabi صلى الله عليه وسلم. Kalau dia kata dia lebih sayangkan isterinya, maka dia tidak beriman. Kalau dia kata ibunya lebih dia sayangi, dia juga tidak beriman. Perkara ini bukan main-main. Ia amat serius, kerana iman lawan kafir. Kekafiran membawa ke neraka.

Umar رضي الله عنه berkata (saya potong-potongkan hadis ini untuk menjelaskan maknanya)

عن عمر رضي الله عنه أنه قال للنبي صلى الله عليه وسلم : يا رسول الله أنت أحب إلي من كل شيء إلا من نفسي .

bermaksud: Umar berkata kepada nabi صلى الله عليه وسلم “Wahai Rasulallah, engkau adalah orang yang paling aku sayangi berbanding semua perkara kecuali diriku.

Dalam hadis di atas, Umar رضي الله عنه lebih sayangi dirinya berbanding semua benda dan orang yang ada. Adakah ini ucapan yang betul? Tentulah tidak, kerana Nabi صلى الله عليه وسلم seterusnya bersabda:

فقال النبي صلى الله عليه وسلم : « لا والذي نفسي بيده حتى أكون أحب إليك من نفسك »

bermaksud: Tidak, demi tuhan yang nyawaku ditangannya, sehingga engkau mencintaiku lebih dari dirimu.

Nabi صلى الله عليه وسلم menegur Umar رضي الله عنه tentang pengakuannya itu. Dan Nabi صلى الله عليه وسلم membetulkannya. Jadi cinta makhluk perlu dipastikan tidak melebihi cinta kepada Rasul. Dalam hadis ini Rasul صلى الله عليه وسلم inginkan ummatnya agar tidak terpesong kepada cinta dunia. Dalam dunia hari ini ramai mengaku cinta rasul tapi kelakuan dan akhlak tidak menyerupai orang yang mencintai rasul.

Mari kita lihat lagi sambungan kepada hadis tadi:

فقال له عمر : فإنه الآن والله لأنت أحب إلي من نفسي .

Bermaksud: Maka Nabi صلى الله عليه وسلم berkata kepada Umar رضي الله عنه “Maka sesungguhnya sekarang, demi Allah, engkaulah yang paling aku cintai berbanding diriku.”

Sejurus teguran Nabi صلى الله عليه وسلم Umar رضي الله عنه menukar pengakuannya. Kita bagaimana? Siapakah yang lebih kita cintai? DIRI kita? sehingga kita mengikut hawa nafsu, yang tidak boleh ditegur. Jika ditegur terus melenting. Angkuh, bongkak dan besar diri? Lihatlah Umar, kasihsayangnya benar hakiki kepada Rasulullah, bukan mainan lafaz untuk menyedapkan hati Rasulullah.

Mari kita dengar sambungan hadis tadi.

فقال النبي صلى الله عليه وسلم : « الآن يا عمر »

Bermaksud: Berkata Nabi صلى الله عليه وسلم “ Sekarang (barulah benar imanmu) wahai Umar” Keseluruhan hadis adalah riwayat Bukhari:6632

Perkataan Umar ini dibuktikan semasa hayat Nabi dan juga selepas kewafatannya. Sebelum menjadi khalifah juga semasa menjadi khalifah. Bukan hanya retorik penyedap kata. Sebelum memeluk Islam, dia lah orangaling memusuhi Islam. Setelah memeluk Islam, dia lah yang paling kuat mempertahankan Islam. Inilah bukti kecintaanya kepada Nabi ضلى الله عليه وسلم.

quran-sunnah

Sama-samalah kita sentiasa memperbaiki cara kita mengikuti Rasulullah. Jangan hanya mengikut membuta tuli. Jangan hanya kerana seorang itu dipanggil ‘ustaz’, kita terus menerima butiran katanya walau tidak berdalil dari quran dan sunnah. Gunakanlah akal dan minda mu yang sihat untuk membuat penilaian. Jalan yang selamat hanya dengan mengikuti kedua-duanya itu.