Selasa, 24 Julai 2012

KAU PUASA TAPI TAK SOLAT!!

Selamat menjalani ibadat puasa. Nampaknya kita sedang berada dalam bulan Ramadan. Umat islam diwajibkan berpuasa.

Gambar hiasan
Firman Allah
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ 
bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, difardukan ke atas kamu puasa seperti yang difardukan ke atas umat sebelummu, semoga kamu mendapat ketaqwaan. Baqarah (2:183) 

Ayat di atas merupakan seruan Allah kepada mereka yang mempunyai iman dalam dada mereka. Maka sesiapa yang terpanggil dengan seruan ini, pastinya dalam dada mereka ada keimanan.

Tapi kan, yang menjadi masalah ialah orang itu hanya berpuasa tapi tak solat!!! Saya merasakan ini adalah perkara yang banyak berlaku di Malaysia melalui pengamatan saya. Mengapa mereka hanya rajin puasa tapi tak solat??? Bukankah puasa itu lebih sukar, dari mendirikan solat? Solat hanya lima minit, paling lama pun 15 minit. Kalau puasa, masa yang diambil lebih dari 12 jam seharian. Hmmm.

PUNCA TAK SOLAT
Antara punca utama ialah tiada latihan. Iaitu sejak dari kecil mereka tidak dilatih oleh ibu, bapa atau penjaga tentang pentingnya solat.

Sabda Nabi:
مروا أولادكم بالصلاة وهم أبناء سبع سنين واضربوهم عليها وهم أبناء عشر سنين وفرقوا بينهم في المضاجع
Bermaksud: Suruh anak-anakmu bersolat ketika umur mereka tujuh tahun, dan pukullah mereka kerananya ketika berumur sepuluh tahun, dan pisahkan tempat tidur mereka. HR Abu Daud : 495. Berkata Al-Albani: Hadis Hasan Sahih.

LATIHAN PUASA??
Banyak ibu bapa pada hari ini amat menitik beratkan dan memberatkan anak mereka dengan berpuasa pada bulan ini. Anak-anak yang baru berumur 5 tahun telah disuruh berpuasa padahal perkara yang ditekankan oleh nabi SAW adalah solat. Kesian anak-anak ini, atas salah faham ibu bapa, mereka yang menjadi mangsa. 

Antara ungkapan yang sering kita dengar "Saya nak latih anak saya puasa, supaya nanti bila besar senang nak puasa". Benarkah begini?? Saya tiada masalah dengan ungkapan tadi.Tapi pastikan seimbang dengan ibadat yang lain.

Masyarakat kita juga menyumbang kepada perkara ini. Biasanya orang akan bertanya " Adik puasa tak??", "Tak puasa, tak boleh raya", "Tak malu tak puasa". Ini menjadikan ibu bapa tergerak untuk mengambil langkah menggalakkan anak-anak mereka berpuasa. Ada juga yang memberi hadiah sekiranya anak-anaknya dapat melengkapkan ibadat puasa lengkap sebulan, atau memberi hadiah mengikut bilangan hari.

SEPATUTNYA BAGAIMANA?
"Adik dah solat?", "Jom adik, kita solat", "Adik, lepas solat kita sambung main semula, ok", "Adik solat penuh lima waktu, ayah bagi hadiah".

Kalau berkenaan puasa, setiap orang yang kita jumpa akan bertanya kepada anak kita (yang belum pun memaiyiz) "Puasa tak hari ni?" Tak percaya?? Cuba bawak anak anda jumpa kawan-kawan anda, jiran-jiran anda, sesiapa sahaja yang anda kenal. Pasti soalan yang sama akan ditanya. 

Saya amat menghargai keperihatinan semua masyarakat Muslim Malaysia. Tapi bukan itu sepatutnya yang berlaku. Solat banyak diabaikan oleh Muslim. Jadi apakah langkah yang perlu diambil supaya semua muslim di Malaysia dapat menunaikan solat secara lengkap lima kali sehari?? 

Latihan. Ya, latihan diperlukan. Ia diperlukan sejak kecil. Bukan hanya puasa. Tapi SOLAT. Sebab dalam hadis dalam nabi SAW amat mengambil berat perkara SOLAT.

JADI??
Puasa belum difardukan bagi anak-anak kecil sebab mereka masih kecil. Belum baligh. Jika ingin melatih mereka janganlah secara melampau memaksa. Ingat jangan dera mereka. Izinkan mereka makan apabila mereka lapar. Ok.

Solat juga tidak fardu ke atas anak kecil. Tapi latihan demi latihan adalah perlu. Bila sebut latihan, pemantuau berterusan perlu dijalankan. Sebab solat ni akan digunakan selama 365 hari setahun, 24/7, tanpa henti. Sebab itulah ia perlu diambil berat.

KESIMPULAN
Selamat berpuasa. Teruskan beribadat. Fahami setiap ibadat melalui Quran dan Sunnah. Terima kasih kerana membaca.