Anak merupakan anugerah Allah kepada ibu dan bapa. Ia perlu dihargai dan diajar menghargai. Hari ni saya fokus berkenaan layanan kepada kanak-kanak dalam masjid. Gambar-gambar di bawah di ambil di Masjid Mahmudiyah, WP Labuan.
Antara perkara yang normal pada kanak-kanak ialah suka bermain. Ramai yang tidak boleh terima hakikat ini. Ramai yang bila datang ke masjid mereka tidak mahu melihat kanak-kanak berada dalam masjid. Anti kanak-kanak mungkin. Pernah sekali ada saya terlihat seorang pakcik (hampir sebaya dengan bapa saya) menampar kanak-kanak yang bermain. Yang menjadi punca ialah anak ini tadi membuat bising ketika solat. Saya rasa tidak patut dibuat demikian. Budak-budak yang melepak, berpeleseran, hisap gam, pastinya tak pernah kena tampar sebegini.
Saya dah jarang dah melihat budak itu datang ke masjid. Rasanya bukan jarang, tapi langsung tak datang. Ermmm, kita dah kehilangan prospek dakwah. Tak mesra kanak-kanak juga adalah masalah dalam diri kita.
Kawalan.
Jarang-jarang kanak-kanak datang bersendirian, melainkan rumahnya bersebelahan masjid. Biasanya datang dengan berteman. Sama ada dengan ibu, bapa, abang, cikgu dan lain-lain.
Lagi satu, dalam masyarakat kita, kanak-kanak ditempatkan di saf belaaaaaaaakang sekali. Tahu tak apa jadi jika sepuluh orang kanak-kanak duduk berdekatan? Pastinya mereka bermain-main. Berdiri di saf tapi bercakap. Berdiri di saf tapi tangan usik kawan, pijak kaki kawan.
Pernah juga saya lihat, beberapa orang kanak-kanak solat di saf pertama. Tiba-tiba datang seorang dewasa, lalu dia menarik kanak-kanak ini ke saf belakang. Saya ingin bertanya , “Hak saf hadapan, adakah hak eksklusif orang dewasa? atau ia hak orang yang datang awal?” Bukankah Nabi menggalakkan kita berebut saf awal? Jadi siapa cepat dia dapat. Tau.
Kalau lambat datang tu, sedarlah diri. Datang lah awal.
Islam tidak meletakkan syarat anak kecil yang datang itu mesti bersunat terlebih dahulu. Yang menjadi keutamaan ialah anak tadi mesti mumayyiz, ia memahami apa yang dilakukan, memahami arahan jika diberikan. Tetapi mesti berserta kawalan.
Jadi anak-anak ini nak diletakkan di mana ketika solat?
Letakkan disebelah bapanya yang bersolat. Setiap bapa yang membawa anaknya, letakkan anaknya disebelahnya. Mungkin ada yang bertanya, eh mana boleh nanti…..
Mengapa ketika di seluruh pelusuk negara Arab Islam, ia tidak menjadi masalah, tetapi di Malaysia ia merupakan masalah terbesar? Bukankah bila anak-anak ini disebelah bapanya, ia akan diam dan turut serta sekali untuk solat? Lantas ia akan menghilangkan masalah anak-anak bising ketika solat? Bukankah begitu?
Selagi anak-anak dianggap masalah, selagi itulah kita tidak akan dapat melihat generasi pelapis bagi masa akan datang. Mereka takut untuk datang ke masjid, kerana ada penjaga (pembengis) seperti ini.
Layanan
Layanilah mereka dengan baik, nescaya mereka akan berbaik dengan kita.
Dalam sepotong hadis dari Abu Hurairah katanya : Nabi SAW bersabda:……..
( إنه من لا يَرحم، لا يُرحم)
Sesungguhnya sesiapa yang tidak mengasihi ia tidak akan dikasihi.
Hadis Muttafaqun Alaih
Masjid adalah hak semua muslim tidak mengira usia. Jangan hadkan pemilikan masjid hanya kepada golongan tertentu. Setiap orang ada haknya di masjid. Kita sebagai jemaah yang hadir raikan lah semua golongan.
Jika ibubapa dan semua memahami tugas dan tanggungjawab masing-masing semua perkara menjadi mudah.
Di Masjid yang saya bertugas ini, saya menggalakkan sesiapa datang membawa anak untuk solat bersama anaknya disebelahnya. Ia membawa ketenangan kepada yang membawa anak dan mudahkan pemantauan anaknya. Sekalikus semua jemaah lain dapat solat dengan lebih baik.
Gambar diambil menggunakan Kamera Canon Powershot G16 di Masjid Mahmudiyah Labuan.